6 syarikat telekomunikasi didenda RM700,000 kerana pendaftaran palsu SIM prabayar - Eazyreload

 Eazyreload

Sistem Topup & Bayar Bil Online No 1 di Malaysia

iphone8

Post Top Ad

PERHATIAN: JANGAN BERI PASSWORD WEBSERVER ANDA KEPADA SESIAPA TERMASUK UPLINE/ ADMIN/ STAFF/ PETUGAS SERVER ATAU SESIAPA PUN.

Wednesday 7 October 2020

6 syarikat telekomunikasi didenda RM700,000 kerana pendaftaran palsu SIM prabayar

 


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan sebanyak 15 kompaun berjumlah RM700,000 pada 1 Oktober 2020, kepada syarikat telekomunikasi kerana gagal melaksanakan pengesahan identiti untuk pendaftaran kad SIM prabayar baharu pada tahun 2019. Syarikat yang dikompaun adalah Celcom, Maxis, Tone Plus, Tune Talk, U Mobile, dan YTL Communications.

Menurut SKMM, kompaun tersebut dikeluarkan menurut Seksyen 127 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Di dalam Seksyen 242 akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000, atau dipenjara tidak lebih 2 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Penerima kompaun tertinggi adalah U Mobile Sdn Bhd dengan lima kompaun bernilai RM250,000. Ia diikuti dengan Celcom Axiata Berhad dan Tune Talk Sdn Bhd, masing-masing dengan tiga kompaun bernilai RM150,000. Maxis Broadband Sdn Bhd pula dikenakan sebanyak dua kompaun bernilai RM100,000 manakala YTL Communications Sdn Bhd dan Tone Plus Sdn Bhd masing-masing dengan satu kompaun bernilai RM40,000 dan RM10,000.

Langkah ini diambil untuk memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara, selain memastikan proses pendaftaran kad SIM prabayar mematuhi garis panduan yang ditetapkan. SKMM juga mengambil langkah proaktif untuk menjamin keselamatan, seperti pendaftaran kad SIM menggunakan Platform Automatik yang sulit (encrypted) dan terjamin (secured) sahaja. Selain itu, penyedia perkhidmatan tidak akan mendaftarkan mana-mana pelanggan baharu untuk memiliki lebih daripada lima kad SIM untuk setiap individu.

SKMM menjelaskan lagi, mereka tidak akan berkompromi dalam hal ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal untuk mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

Mewajibkan pengesahan pengenalan diri untuk pendaftaran SIM prabayar baharu dilaksanakan untuk membendung penyalahgunaan perkhidmatan prabayar, seperti jenayah dan keganasan. Penduduk di Malaysia memerlukan kad pengenalan atau kad MyPR untuk mendaftar, manakala warga asing boleh menggunakan pasport atau kad permit kerja. Kad pengenalan asli perlu digunakan dan salinan tidak diterima.

Sumber: SKMM

No comments:

Post a Comment

Post Bottom Ad